Reaksi Kita Menentukan Perasaan Kita

Jumaat, 21 Januari 2011

Syukur Alhamdulillah.....





Syukur alhamdulillah anakanda Amirul telah berjaya menghabiskan minggu orentasi. Tiga hari menitiskan airmata, akhirnya dengan kebijaksaaan guru serta kebaikan senior mampu mengubah segalanya. Kini Amirul mampu tersenyum, ketawa dan mampu bergerak dipentas SEMESRA.Kini ragbi menjadi sukan kesukaan, bola sepak tetap menjadi sukan pilihan. Teruskan perjuangan ayah tetap mendoakan. Tunjukkan kehebatan, kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum dan yang lebih penting sentiasa berbudi bahasa dan menuruti suruhan Allah.....

Sabtu, 15 Januari 2011

Allah menguji Cintamu......




Indahkan cinta kita jika ia bersenandung dalam lubang biawak? Cinta tetap sesegar mawar, biarpun tidak diraikan pada setiap 14 Februari kerana cinta pada yang tersayang bukan dibiaskan pada mawar. Kecantikan itu bukan dilihat dari sudut fizikal semata-mata tetapi kecantikan itu timbul dari hati, berserta kebaikan terhadap manusia dan kepatuhan kepada yang maha mencipta.Apabila datang perasaan semacam itu dihatimu…..sedarlah ketika itu Allah menguji cintamu! Allah bukan sahaja menguji cintamu kepadanya, tetapi menguji cintamu kepadaNYA. Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta nafsu? Memang , orang yang paling dapat membuat dirimu marah ialah orang yang paling kita cintai. Jadi apabila kita diuji begini katakan pada diri, “ Oh, Tuhan kau sedang mengajarku erti cinta dan erti sabar.” Jika kita kalah , itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri. Bahagia bukan pada harta. Bukan pada rupa. Bukan pada status. Bukan pada yang bersifat duniawi. Tapi…..bahagia itu letaknya pada hati yang tenang. Hati yang meredai. Hati yang mensyukuri. Hati yang tunduk pada ILAHI. Itulah bahagia yang sebenar kekal abadi selamanya……..(Untuk mengingati diri sendiri dalam meniti usia agar kebahagian kurniaan Allah di syukuri…kelemahan dinsafi..)

Khamis, 6 Januari 2011

Melihat di sebalik tersirat...

Tatkala kita benci akan sesuatu, boleh jadi ia memberikan kebaikan kepada kita dan tatkala kita suka akan sesuatu, boleh jadi ia mengundang bencana. setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. namun kadangkala manusia tidak melihat setiap yang tersirat di sebalik yang berlaku.Kadangkala emosi menguasai akal tatkala kita berada dalam kesusahan atau kekalahan. Oleh yang demikian, iman merupakan suluhan utama yang memberikan cahaya untuk melihat "kekurangan" sebagai kelebihan". Tanpa iman seseorang itu akan terus meratapi kekurangan atau kegagalan yang dialaminya tanpa dapat menukarkannya kepada peluang dan kejayaan. Kita perlu melihat sesuatu kesusahan, kekurangan, kekecewaan dan kekalahan dari sudut yang positif agar kita dapat menukarkan fikiran positif, kita dapat mengubah perkara yang lebih susah kepada sesuatu yang lebih produktif dan bermanafaat.

Rabu, 5 Januari 2011

Air mata kasih......


Selamat berjuang buat anakanda Mohd Amirul Hakim. Hari yang penuh bersejarah. Nampak penuh bersemangat. Tambahan diletakkan dalam kumpulan rumah sukan yang terdiri daripada athlet-athlet sekolah. Menjejak kaki di SBP Rembau , diterima dengan penuh keceriaan. Pelajarnya yang ramah mesra, berbudi bahasa sedap mata memandang, syahdu telinga mendengar. Berpisah dengan anakanda Mohd Amirul Hakim ini penuh dengan rasa yang berbaur. Tewas juga dengan air mata. Bukan menangis kerana sedih tetapi air matanya yang menitis itu , air mata kasih sayang seorang ayah. Hanya Allah juga yang tahu........A

Sabtu, 1 Januari 2011

Tahniah buat anakanda Nur Farrah Atiqah


Terima kasih kepada-Mu Ya Allah kerana memberi cahaya kegembiraan buat puteriku Nur Farrah Atiqah. Titis air mata yang mengalir dipipi, dengan kejayaan mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR sebenarnya lebih menginsafkan betapa kita harus bersyukur dengan ujian kejayaan ini. Buat anakanda Nur Farrah Atiqah teruskan perjuangan, teruskan keazaman, teruskan kesungguhan. Perjalanan masih jauh. Banyak lagi onak dan ranjau yang perlu dilalui. Kejayaan mahupun kegagalan sebenarnya ujian Allah .Ayah senantiasa mendoakan kejayaan didunia dan akhirat. Moga anakanda menjadi permata dunia dan permata akhirat. TAHNIAH....

Ahad, 19 Disember 2010

Kasih di Bukit Broga





Hari ini aku berjaya lagi mendaki Bukit Broga walaupun tidak setinggi Gunung Ledang yang pernah aku gapai seketika dulu. Kali ini sangat istimewa kerana bersama isteri yang sudah banyak kali aku pujuk untuk mendaki bersama. Walaupun nampak penat dan mengah semasa mendaki tapi akhirnya sampai juga ke puncak Bukit Broga.Semakin meningkat usia, seharusnya semakin meningkat dan kukuh kasih sayang. Itulah harapan serta doa hidup berkeluarga. Setakat hari alhamdulillah ikatan kasih sayang itu bertambah kuat dan kekuatan itu perlu dikukuhkan lagi dengan masa untuk bersama. Teringat semasa menghadiri majlis perkahwinan anak rakan , di mana imam menyarankan agar pengantin-pengantin lama mengukuhkan ikatan kasih sayang dengan menghadiri seminar atau kursus-kursus perkahwinan. Saranan itu memang tepat dan perlu dalam keadaan sekarang ini. Bukan bila ada masalah baru kita bertindak untuk menyelesaikan masalah. Akhirnya, insaflah.....kurniaan seorang suami atau isteri melalui perkahwinan hanyalah satu jalan daripada jalan-jalan menuju redha Tuhan. Sesungguhnya kehidupan ini tidak lain hanyalah pengabdiaan kepada Dia yang memiliki segalanya. Selama hayat ini, curahkan ketaatan kepada Allah melalui khidmat bakti kepada pasangan. Cinta kepada suami atau isteri akan sentiasa mekar mewangi dengan berpaksiakan cinta kepada-NYA.

Khamis, 16 Disember 2010

Bersaing dengan diri sendiri......


Bersaing dengan diri sendiri sebenarnya juga melibatkan dia pihak iaitu, diri kita yang sedia ada zahir dan diri kita yang ideal atau juga dipanggil roh atau jiwa kita. Diri kita yang zahir sering melahirkan tabiat dan perangai yang lemah dan malas. semua sifat negatif ada dalam diri kita seperti malas, letih, dengki, kecewa, ragu-ragu, tidak yakin, marah, malu, bimbang, takut dan seribu satu macam perasaan negatif yang lain. Untuk berjaya, maju, cemerlang, terbaik dan menjadi nombor satu, kita mesti meninggalkan sifat-sifat negatif ini dengan sedaya upaya kita daan bergerak menuju sikap idealistik seperti kesempurnaan, cemerlang, berjaya, sentiasa berada pada kedudukan nombor satu, tangkas, terbaik, pencapaian 100%, luar biasa dan sebagianya. Inilah diri kita sebenar. Inilah kemampuan kita yang sepatutnya. Jadi setiap masa kita hendaklah bersaing dengan "diri kita" yang negatif ini untuk menjadi seorang "diri kita" yang terbaik.