Reaksi Kita Menentukan Perasaan Kita

Ahad, 17 Julai 2011

Bataskan Diri dalam Gurau Senda

Bergurau senda mampu merapatkan hubungan sesama insan. Namun begitu kadangkala gurau senda juga akan membawa malapetaka kepada sesoarang insan. Bergurau senda boleh membawa hati yang lara menjadi ceria. Gurauan melalui perkataan dan perbuatan akan dapat menceriakan seseorang. Bergurau senda membawa bahagia tetapi tidak kurang juga membawa bencana. Jadi marilah kita bersama-sama berwaspada dalam bergurau. Kita harus bersederhana dalam setiap hal, itu adalah lebih baik.

Khamis, 23 Jun 2011

Kelapangan

Telah lama tidak menulis. Bukan kekeringan idea tetapi lantaran kerja yang agak banyak. Perlu diselesaikan. Syukur alhamdulillah Allah memberi ruang untuk menyelesaikan satu persatu. Walaupun banyak dugaan perlu diatasi. Allah akan memberi kelapangan kepada diri jika kita dapat melapangkan kekusutan yang mendatang. Jika kita memudahkan kerja orang lain, InsyaAllah Allah akan memberi kelapangan dan kemudahan kepada diri kita. Yang penting apa yang kita buat itu ikhlas untuk kebaikan bersama. Untuk berjaya kita perlu sokongan. Jika ditempat kerja, rakan-rakan yang akan menyokong usaha kita, dan pasti kita perlu sokongan yang tidak berbelah bahagi dari orang yang tersayang iaitu isteri tercinta. Senyum sahaja pengubat segala.......Terima kasih.

Jumaat, 3 Jun 2011

Hasad......Ibu Sengketa

Orang yang hasad gagal melihat hikmah di sebalik nikamat yang ada. Orang yang hasad gagal bersyukur dengan apa yang dia ada dan bersabar apa yang dia tiada. Syukur dan sabar merupakan harta yang menyebabkan kita merasa bahagia dan kaya. Kita akan menjadi rugi kerana hasad, rugi kerana gagal mengecapi nikmat dunia dan akhirat. Hasad yang ada dalam hati lebih menyeksa diri daripada orang yang dihasad. Ia umpama api yang membakar. Sebelum dia membakar, dirinya terbakar dahulu. Jiwa tidak tenang, fikiran sentiasa kacau dan perasaan tidak tenteram. Mahukah kita menjadi begitu?

Rabu, 25 Mei 2011

Mulakan hari dengan senyuman

Bermula dari hari ini, setiap kali bangun pagi mulakan dengan seyuman untuk diri sendiri, kemudian barulah kepada orang lain. Senyum tanda syukur pada nikmat Allah. Jadikan senyum dan pujian perkara penting yang sentiasa berada di bibir mulut. Senyum adalah sedekah paling mudah diberi kepada orang, tidak perlu modal dan murah. Senyum membeli hati semua orang, mencerminkan kejernihan hati. Kita senyumlahlah ibarat bayi, kerana semua orang suka jika bayi tersenyum. Sebagai seorang guru apabila kita mengajar suasana yang gembira, banyak senyuman maka murid akan lebih cepat belajar. Senyuman adalah terapi minda untuk memulakan hari yang baik. Begitu juga sebagai ketua jabatan, senyumlah, kerana senyuman itu akan memotivasikan pekerjanya.....

Khamis, 19 Mei 2011

Sabar Itu Indah


Sabar itu bukan perkara yang mudah dilaksanakan kerana padanya terdapat kesulitan dan kesukaran. Sabar itu laksana sinar matahari. Meskipun sinar matahari itu panas dan tidak menyelesakan, manusia memerlukannya untuk pelbagai urusan seperti mengeringkan pakaian. Bagi tumbuhan pula sinar matahari itu menjadi sumber untuk membina makanan. Bumi pula akan suram tanpa sinar matahari. Itulah ibaratnya sifat sabar. Kita memerlukan walaupun ia mengagih sedikit kesusahan. Sabar itu sememangnya indah!

Selasa, 17 Mei 2011

Suis Induk bagi Ketenangan

Allah memberikan kepada seseorang itu sedikit kelebihan agar dapat diagihkan kepada yang kurang upaya. Sebagai gantinya Allah akan memberikan ketenangan bersama kelebihan tersebut. Tanpa anugerah itu, kelebihan yang sedang dikecapi mungkin menjadi mala petaka. marilah melebarkan daerah pandangan keluar daripada daerah selesa dan memerhatikan ke wajah mereka yang daif. Pada mereka ada habuan buat kita dengan memberikan bantuan bagi memperoleh ketenangan selari dengan solat yang khusyuk dan rantaian zikir serta amalan yang memperkukuhkan hubungan dengan Allah. Itulah suis induk bagi ketengan hati!

Khamis, 12 Mei 2011

Keajaiban kata-kata.

Melalui perkataan yang kita ucapkan ia akan menjadi satu kenyataan dan membentuk kehidupan kita berdasarkan pemikiran kita. Kenyataan ini disokong pakar komunikasi dengan mengatakan perkataan mempunyai kuasa ajaib yang boleh mempengaruhi kehidupan seseorang. Perkataan yang keluar daripada mulut amat berpengaruh dalam kehidupan. Selain itu perkataan boleh mengubah emosi dan membuat manusia bertindak serta menggambarkan budaya hidup. Nabi pernah berpesan dan mengajar kita menggunakan perkataan yang baik-baik kerana ia dapat menghubungkanrasa kasih sayang dan memotivasikan seseorang bagi menuju kejayaan di dunia dan akhirat. Oleh itu individu yang yang berjaya adalah mereka yang mempunyai harga diri tinggi dan berfikiran positif manakala, individu yang gagal mempunyai harga diri rendah serta sentiasa berfikiran negatif.