Reaksi Kita Menentukan Perasaan Kita

Ahad, 19 Disember 2010

Kasih di Bukit Broga





Hari ini aku berjaya lagi mendaki Bukit Broga walaupun tidak setinggi Gunung Ledang yang pernah aku gapai seketika dulu. Kali ini sangat istimewa kerana bersama isteri yang sudah banyak kali aku pujuk untuk mendaki bersama. Walaupun nampak penat dan mengah semasa mendaki tapi akhirnya sampai juga ke puncak Bukit Broga.Semakin meningkat usia, seharusnya semakin meningkat dan kukuh kasih sayang. Itulah harapan serta doa hidup berkeluarga. Setakat hari alhamdulillah ikatan kasih sayang itu bertambah kuat dan kekuatan itu perlu dikukuhkan lagi dengan masa untuk bersama. Teringat semasa menghadiri majlis perkahwinan anak rakan , di mana imam menyarankan agar pengantin-pengantin lama mengukuhkan ikatan kasih sayang dengan menghadiri seminar atau kursus-kursus perkahwinan. Saranan itu memang tepat dan perlu dalam keadaan sekarang ini. Bukan bila ada masalah baru kita bertindak untuk menyelesaikan masalah. Akhirnya, insaflah.....kurniaan seorang suami atau isteri melalui perkahwinan hanyalah satu jalan daripada jalan-jalan menuju redha Tuhan. Sesungguhnya kehidupan ini tidak lain hanyalah pengabdiaan kepada Dia yang memiliki segalanya. Selama hayat ini, curahkan ketaatan kepada Allah melalui khidmat bakti kepada pasangan. Cinta kepada suami atau isteri akan sentiasa mekar mewangi dengan berpaksiakan cinta kepada-NYA.

Khamis, 16 Disember 2010

Bersaing dengan diri sendiri......


Bersaing dengan diri sendiri sebenarnya juga melibatkan dia pihak iaitu, diri kita yang sedia ada zahir dan diri kita yang ideal atau juga dipanggil roh atau jiwa kita. Diri kita yang zahir sering melahirkan tabiat dan perangai yang lemah dan malas. semua sifat negatif ada dalam diri kita seperti malas, letih, dengki, kecewa, ragu-ragu, tidak yakin, marah, malu, bimbang, takut dan seribu satu macam perasaan negatif yang lain. Untuk berjaya, maju, cemerlang, terbaik dan menjadi nombor satu, kita mesti meninggalkan sifat-sifat negatif ini dengan sedaya upaya kita daan bergerak menuju sikap idealistik seperti kesempurnaan, cemerlang, berjaya, sentiasa berada pada kedudukan nombor satu, tangkas, terbaik, pencapaian 100%, luar biasa dan sebagianya. Inilah diri kita sebenar. Inilah kemampuan kita yang sepatutnya. Jadi setiap masa kita hendaklah bersaing dengan "diri kita" yang negatif ini untuk menjadi seorang "diri kita" yang terbaik.

Selasa, 7 Disember 2010


Salam Maal Hijrah 1432. Di ketika ini berada di Melaka bersama keluarga. Seronak dapat bersama keluarga dengan anak-anak yang kian membesar. Penuh dengan karenah masing-masing tetapi itu adalah nikmat Allah yang dikurniakan. Bukan semua manusia yang dapat bersama keluarga. Telatah anak-anak kadang-kadang menguji kesabaran tetapi itu sebenarnya nikmat yang Allah berikan kepada kita. Bila kita fikir kembali ada sesetengah insan yang tidak mempunyai anak pasti akan kepinginan untuk merasai nikmat yang Allah kurniakan itu. Jadi kita harus bersyukur segala nikmat yang Allah berikan ini. Bila kita fikir masa yang berlalu ini sebenarnya semakin menjarakkan kita dengan anak-anak. Kasih sayang mereka sebenarnya bertambah jauh seiring dengan peningkatan usia. Itu hakikat. Hakikat yang harus diterima. Inilah masanya untuk kita harus berkorban masa mendapat kasih sayang mereka, sebelum kasih sayang itu tertumpah pada yang lain. Sebenarnya itulah hakikat hidup ini. Seperti juga diri kita. Bila usia kian meningkat seharusnya kasih sayang juga semakin bertambah. bertambah dalam apa juga keadaan. Seharusnya kasih sayang itu bertambah mekar seperti dulu. Semakin meningkat darjah celciusnya.

Ahad, 5 Disember 2010

Hanya bermusahabah....


Untuk mendapatkan perhatian, berilah perhatian. Untuk mendapatkan belaian, berilah belaian. Ingat cinta itu bukan kata-kata tetapi cinta itu perbuatan atau tindakan. Jika kita cinta Allah, bukan sekadar pengucapan tetapi melalui perbuatan. Jika mengungkapkan berjuta kali tidak ada gunanya jika tidak disertai dengan perbuatan. Begitu juga situasinya suami isteri. Bukan sekadar ungkapan cinta tetapi harus disertai dengan perbuatan dan tindakan. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman hati menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangan, tetapi satu dari segi rasa.