Reaksi Kita Menentukan Perasaan Kita

Rabu, 26 Mei 2021

Catatan Indah....Satu Memori

 

Catatan Indah .....Satu Memori

Hasrat untuk pergi ke Beijing, China ini memang telah terpendam lama memandangkan anak sulungku melanjutkan pelajarannya di sana. Hari demi hari, bulan berganti bulan, tahun bersilih tahun hasrat itu terpendam kerana terdapat beberapa kekangan. Pada 17 Jun 2018, ketika musim panas hasrat itu termakbul. Hal ini juga disebabkan tahun itu merupakan tahun akhir anakku belajar di sana dan akan menjalani konvokesyen. Oleh itu aku dan keluarga mengambil keputusan untuk mengabdikan kenangan bersama-sama semasa beliau masih belajar di sana. Beijing merupakan satu bandar yang sangat sesak. Pengalaman bersiar-siar pada hari kerja memang sangat baik tetapi adalah lain ceritanya pada hujung minggu dan hari cuti umum China. Ia boleh menjadi sukar untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain disebabkan oleh orang ramai. Pencemaran udara di Beijing juga mungkin akan menjadi faktor gangguan lawatan.  Kita boleh menggunakan topeng muka untuk melindungi diri semasa berada di kawasan terbuka. Ini adalah satu situasi yang agak lumrah di China.

Kami bertolak ke Beijing, China pada pukul 6.30 petang 17 Jun 2018 dan sampai pada pukul 1.30 pagi  pada 18 Jun 2018 dan disambut oleh anak sulungku di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Terminal 3. Jika aku rasa KLIA itu besar, lapangan terbang Beijing itu sungguh besar dan binaannya juga sangat menarik. Tapi yang pasti keadaan di lapangan terbang ini sungguh sesak dengan manusia yang mempunyai urusan kehidupan. Menurut anakku, kami baru sahaja mendarat di salah sebuah lapangan terbang tersibuk di dunia. Kami terus dibawa ke tempat penginapan oleh pemandu van yang telah ditempah khas sepanjang percutian kami selama seminggu.

Percutian kami selama seminggu ini memberikan pengalaman yang menarik dengan disajikan dengan ragam kehidupan di sebuah kota yang besar. Pepatah Melayu ada mengatakan, Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan. Kata anakku, tidak lengkap kalau datang ke Beijing jika tidak melakukan dua perkara iaitu, mengunjungi Tembok Besar China dan makan Itik Panggang Beijing.

Pada hari kedua kami telah pergi melawat Tembok Besar China. Perjalanan kami dari tempat penginapan mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih dengan melalui lebuh raya. Baru aku tahu bahawa di Beijing ini mengunakan sisten lingkaran. Semakin keluar lingkaran, semakin kampung kawasan tersebut. Lingkaran Pertama ialah di Tiananmen Square. Tempat penginapan kami pula terletak di Lingkaran Ketiga, masih kawasan bandar. Jumlah lingkaran seluruh Beijing ialah enam. Aku berasa kagum apabila melihat saliran-saliran yang terletak di sepanjang perjalanan sungguh bersih dan jernih airnya. Suasana amat mendamaikan.

Kebanyakan pelancong biasanya akan pergi ke Tembok Besar Badaling kerana di sana merupakan tumpuan utama pelancong. Hal ini kerana Tembok Besar Badaling mempunyai kemudahan awam seperti bas yang terus berhenti ke destinasi. Berbeza dengan kami, anakku mengajak kami untuk pergi ke Tembok Besar Mutianyu yang terletak di daerah Huairou. Menarik di Tembok Besar Mutianyu ini ialah kami akan menuruni Tembok Besar tersebut dengan menaiki gelongsor. Ini benar-benar satu pengalaman menarik dan unik untuk kami sekeluarga. Sebelum sampai ke Tembok Besar China kami berhenti di sebuah kawasan perkampungan yang menjual hasil pertanian. Aku sungguh kagum melihat hasil pertanian seperti buah-buahan yang dijual sungguh segar. Paling aku teruja apabila melihat buah laici. Memang manis dan harga yang dijual juga sungguh berpatutan.

Destinasi yang kami tuju akhirnya sampai. Aku terpegun melihat Tembok Besar China yang selama ini hanya aku lihat dalam buku dan kaca televisyen. Kini, salah satu keajaiban dunia ini berada di hadapan mataku sahaja. Untuk mendaki Tembok Besar China itu kami mempunyai dua pilihan iaitu mendaki atau menggunakan kereta kabel. Untuk menjimatkan masa, kami mengambil keputusan untuk menaiki kereta kabel sahaja. Melihat struktur Tembok Besar China yang kukuh dan dibina di kawasan yang berbukit dan lurah yang dalam, terfikir aku bahawa pasti banyak keringat dan darah yang tumpah semasa pembinaan tembok besar China ini. Ada satu pepatah China yang dikongsikan dengan kami tentang Tembok Besar China ini yang berbunyi ‘Sesiapa yang tidak pernah pergi atau mendaki Tembok Besar China, maka dia bukan lelaki sejati.’ Padanlah ramai ibu bapa yang mula membawa anak-anak mereka yang masih kecil untuk mendaki binaan bersejarah ini. Bahkan, datuk dan nenek yang sudah bertongkat pun tidak terkecuali untuk mendakinya. Semangat mereka serta kecintaan mereka terhadap sejarah negara amat patut dicontohi oleh kita semua. Hampir 2 jam berada di atas tembok, merakam keindahan lanskap bukit bukau di kawasan sekitar dan juga binaan tembok itu sendiri, kami akhirnya turun ke kaki bukit. Kami turun dengan menaiki galongsor atau ‘sledge’ yang meluncur dilaluan besi dari atas bukit hingga ke bawah. Memang sunggunh seronok kerana pada masa yang sama dapat melihat pemandangan disekeliling semasa menuruni tembok besar China ini. 

Pada hari berikutnya kami mengambil kesempatan untuk melawat Zoo Beijing. Matlamat kami sebenarnya untuk melihat panda. Aku kagum di tengah-tengah bandar besar ini wujud kawasan yang dijadikankan zoo dengan berlatarkan alam semulajadi yang cantik. Terpesona apabila dapat melihat panda di hadapan mata. Panas terik musim panas tidak menghalang kami daripada terhibur dengan gelagat panda gemuk yang comel.

Itik Panggang Beijing adalah lambang masakan Beijing. Pelayan telah memotong daging itik yang telah dipanggang di hadapan kami sebagai persembahan. Daging itik akan dimakan bersama penkek nipis, daun bawang dan sos masin. Rasanya amat enak, sedikit berbeza dengan rasa daging ayam. Namun begitu, tidak ramai yang gemar makan daging itik termasuklah ahli keluargaku yang lain. Sudah lengkap dua perkara wajib yang perlu dilakukan jika berkunjung ke Beijing, maka jika kami mahu pulang ke Malaysia malam itu juga pun tidak mengapa, gurau anakku.

Percutian kami diteruskan dengan melawat Istana Musim Panas yang  merupakan salah satu tempat menarik di Beijing yang wajib dilawati selain daripada Tembok Besar China. Pemandangan di sini benar-benar menakjubkan dengan tamannya yang indah dan rapi, dan satu tasik buatan manusia yang luas.  Pada sebelah petangnya kami  pergi  Bird Nest dan Water Cube. Memang kami merancang untuk pergi sebelah petang untuk kami melihat suasana malam yang diaktan amat menarik dengan kilauan lampu yang menarik. Kedua-dua tempat ini adalah mercu tanda Olimpik di Taman Olimpik Beijing. Bird Nest adalah struktur keluli terbesar di dunia dan stadium paling kompleks yang pernah dibina. Water Cube dibina dalam reka bentuk yang unik. Apabila waktu malam, Bird Nest dan Water Cube diterangi dengan cahaya lampu warna merah dan biru. Memang sungguh menakjubkan apabila kita memandangnya. Kami berkelah di dataran yang disediakan sambil menikmati pemandangan di kawasan tersebut. Selain itu, anakku mengambil kesempatan ini untuk merakamkan foto kenangan dia berjubah konvo bersama kami. Hari konvokesyennya jatuh pada hari kami bekerja jadi kami tidak dapat hadir ke majlis tersebut. Kata anakku tidak mengapa kerana majlis itu akan berlangsung sepenuhnya dalam bahasa Mandarin tanpa jurubahasa bahasa Inggeris atau bahasa Melayu yang akan menterjemah untuk para ibu bapa yang hadir. Majlisnya juga sangat ringkas dan sederhana jika mahu dibandingkan dengan majlis konvokesyen di Malaysia yang gah.

Satu keadaan yang tidak dapat kami lupakan apabila semasa percutian tersebut jatuh tarikh persidangan komunis sedunia yang diadakan di Bandaraya Beijing. Ketika  itu kami dapati pihak berkuasa berada di serata bandar untuk mengawasi keselamatan. Terasa seram juga apabila melihat  keadaan itu. Hasrat kami untuk singgah di Dataran Tiananmen terbantut apabila melihat di sepanjang jalan dipenuhi dengan anggota keselamatan yang lengkap bersenjata.

Satu pengalaman yang berharga apabila kami berpeluang untuk menunaikan solat di Masjid Niujie iaitu masjid tertua di Beijing. Masjid ini dibina pada tahun 996 dan dibesarkan pada tahun 1622. Ruang solat masjid ini mampu menampung seribu jemaah dalam satu masa. Ramai pelawat yang hadir untuk menunaikan solat terutama pada hari Jumaat. Kami juga terserempak dengan beberapa pelajar lelaki Malaysia yang lain usai solat Jumaat di situ.  Sesuatu yang perlu diketahui ialah pada setiap hari Jumaat kawalan ketat dilakukan oleh pihak berkuasa China untuk memastikan apabila selesai sembahyang Jumaat para jemaah akan terus bersurai. Pihak berkuasa China tidak membenarkan sebarang perkumpulan yang ramai terutamanya upacara keagamaan kerana dianggap boleh mencetuskan suasana yang tidak baik.

Perkara yang mengagumkan kami ialah apabila pemandu yang membawa kami sepanjang percutian itu mengenali Perdana Menteri Malaysia ketiak itu iaitu YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Beliau memberitahu amat mengagumi perdana menteri kita itu. Rupanya Pusat pengajian Melayu China di BFSU telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam iaitu YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada September 2005. Jadi tidak hairanlah mengapa YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dikenali di China. Kami telah dibawa oleh anakku untuk melihat kawasan universiti. Menurut salah seorang yang kami temui di sana mengatakan bahawa universiti ini merupakan salah satu universiti yang menjadi pilihan dalam kalangan warga China untuk melanjutkan pelajaran. Mereka amat berbangga jika dapat memasuki universiti ini.

Satu hal yang amat menarik perhatianku ialah kawasan kampus di universiti ini amat indah dengan pokok besar dan pokok bunga. Rata-rata pelajar aktif melakukan pelbagai aktiviti seperti belajar, bermain skateboard, bermain bola keranjang atau menunggang basikal. Perpustakaannya juga mempunyai binaan yang unik. Dinding perpustakaan diukir dengan perkataan ‘perpustakaan’ dalam pelbagai bahasa. Teruja kami apabila nampak perkataan ‘perpustakaan’ turut terukir. Sesuai benar binaan perpustakaan ini dengan identiti Beijing Foreign Studies University yang menawarkan pelbagai jurusan bahasa.

Pengalaman bercuti di Beijing memberi satu pengalaman berharga kepada kami. Daripada kesesakan jalan raya sehinggalah dengan keindahan panoramanya memberi satu pengalaman yang sangat berharga. Aku bertekad untuk kembali semula ke sini untuk menjelajah tempat-temat yang masih tidak aku pergi. Tambahan anakku yang telah tamat belajar di sana memang ingin kembali ke sana untuk mengutip semula kenangan manis semasa belajar di sana. Semoga niat itu akan tercapai apabila berakhirnya COVID-19 ini.

Selasa, 25 Mei 2021

Menulis

Bukan mudah untuk mengajar orang menulis. Menulis mempunyai banyak cabaran. Mungkin bukan semua orang mempunyai bakat menulis, namun semua orang mampu menulis. Yang menjadi kekangan untuk orang menulis apabila kita sentiasa memikirkan adakah tulisan yang dihasilkan berkualiti. Inilah pembunuh utama untuk orang menulis. Menulis merupakan curahan pengalaman yang kita lalui sepanjang hari. Gerakkan pena untuk menulis apa yang difikirkan. Catatan pengalaman itu akan menjadi satu kenangan yang indah dalam kehidupan. Mungkin menjadi rujukan pada suatu ketika.

16 Mei itu Perjuangan


 

Sengsara Palestin


 

Isnin, 18 Januari 2021

Menciptakan Siklus yang Positif

 

Dalam kehidupan kita terlalu banyak memikirkan ketakutan yang akan menyebabkan kegagalan. Sebenarnya pemikiran sebegini tidak akan mempersiapkan diri kita untuk menghadapi tentangan. Rasa takut akan menjadikan diri kita tidak mampu untuk mengatasi ketakutan itu kerana kita tidak pernah berusaha untuk menghilangkan rasa ketakutan itu. Itulah masalah yang ada pada diri kita sebenarnya. Kita akan membawa rasa takut itu dalam kehidupan, walaupun sebenarnya rasa itu boleh diatasi.


 Tindakan yang positif perlu dengan mengabaikan rasa takut itu dan mengejar matlamat yang harus kita capai untuk membuktikan hidup ini bukan dipenuhi dengan angan-angan. Kegagalan kita bukan tidak mampu tetapi disebabkan rasa takut. Ketakutan terus menyelimuti diri kita hingga kita kehilangan keberaniaan untuk berbuat sesuatu. Kita perlu menerima kelemahan diri kita sebagai sebahagian daripada kehidupan namun kelemahan itu bukan penghalang untuk mengejar keinginan.

Sudah Sudahlah

 

Sudah sudahlah….

Sudah sudahlah,
kita berbicara
tanpa arah tanpa tuju
kita sering menuding
tanpa sedar
jari ke arah kita.

Sudah sudahlah kita berbalah
yang kalah tetap menjadi debu
berterbangan....

Sudah sudahlah
kita berperang
dalam diam
seperti api dalam sekam
parah kian membara.

Orang lain mengintai peluang.

22. 10. 2019

DUGAAN vs HIKMAH

 

Sesuatu perkara yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin kita berasakan satu bebanan untuk melalui detik-deik yang kita anggap sukar dalam kehidupan. Kita perlu tahu bahawa sesuatu kesusahan yang berlaku itu sebenarnya membawa hikmah disebaliknya. Mungkin kita akan menjadi lebih kreatif dalam menjalani kehidupan yang memerlukan  kita bertindak dalam membuat sebarang keputusan.

Dalam melalui detik kesukaran ini, kita mungkin dapat mengeluarkan segala bakat terpendam yang ada dalam diri atau kita akan mencuba sesuatu yang sebelum ini kita tidak mampu lakukan. Mungkin  dahulu kita tidak pernah untuk menjengeh tanah sekangkang kera di belakang rumah. Hari ini kita mulakan tanaman dan kita akan kutip hasilkan kemudian. Kita akan berasa puas. Kepuasan ini akan menjadi kita lebih berminat dan akhirnya menjadi satu amalan dalam kehidupan.  Semua yang berlaku ada sisi kebaikannya walaupun dihantar dengan satu DUGAAN. Terpulanglah kepada kita untuk menjadikan dugaan ini satu permulaan.

Sabtu, 16 Januari 2021

Kita harus lepaskan.....

 Kita perlu melepaskan diri dari lingkungan yang memanjakan diri kita. Potensi yang ada dalam diri harus dikembangkan. Kita seharusnya berani untuk mencuba untuk menguji potensi diri. Apabila kita keluar daripada lingkungan yang memanjakan diri bermakna kita akan belajar untuk menguruskan sebarang risiko yang sering kita takuti. Sebenarnya kita takut untuk menghadapi kegagalan. Jika kita membiarkan rasa takut bermakna kita telah melemahkan diri. Kita telah tanamkan segala potensi yang ada dalam diri dan potensi itu akan terus terkubur bersama-sama rasa takut itu. Segla masalah yang kita hadapi sebenarnya adalah rangkaian fikiran negatif dalam diri yang berulang-ulang mengatakan "tidak boleh", "aku tidak mampu" "siapalah aku" dan banyak ungkapan yang menghalang untuk berjaya dalam perancangan. Oleh itu, kita harus lepaskan...lepaskan segala kata-kata negatif untuk kita bebas daripada memanjakan diri. 


Isnin, 4 Januari 2021

Kita juga ada kelebihan....

 Melihat diri terlalu rendah dan melihat orang lain sebagai terlalu hebat, hanya mengakibatkan kita kehilangan keyakinan dan motivasi untuk hidup dan untuk maju. Sebenarnya diri kita memang telah ada potensi atau kelebihan yang mungkin tidak dimiliki oleh orang lain. Seperti mana juga kelebihan yang ada pada orang lain mungkin kita tidak memilikinya. Apa yang perlu kita lakukan ialah menggunakan kelebihan yang ada pada diri kita agar kita dapat menggunakan kelebihan itu untuk kebaikan diri dan juga orang lain. Kita tidak perlu gusar kerana untuk menang sebenarnya kita perlu bersaing dalam diri sendiri. ITULAH KEMENANGAN.

Ahad, 3 Januari 2021

Cerita Diri.....

 Entah kenapa hati ini mahu menghidupkan semua catatan di blog ini. Mungkin satu keazaman untuk mencatat pengalaman diri mahupun pengalaman melikat sekeliling uang menjadi sebahagian daripada pengalam hidup. Tahun 2021 yang baharu 3 hari menyinari, pastinya akan memabawa pelbagai cerita dalam kamus kehidupan. Mungkin hujan semalaman yang membasahi bumi ini ada ceritanya tersendiri. Semoga tahun 2021 ini akan memberi sinaran yang menerangi segala kegelapan yang kadang kala menghilangkan arah tujuan. Bukan mudah tapi kita harus mencuba. Kita sentiasa ingin melakukan kebaikan yang kadangkala akan menempuh segala rintangan. Tetapi itulah KEHIDUPAN.