Catatan Indah .....Satu Memori
Hasrat untuk pergi ke Beijing, China ini memang telah
terpendam lama memandangkan anak sulungku melanjutkan pelajarannya di sana.
Hari demi hari, bulan berganti bulan, tahun bersilih tahun hasrat itu terpendam
kerana terdapat beberapa kekangan. Pada 17 Jun 2018, ketika musim panas hasrat
itu termakbul. Hal ini juga disebabkan tahun itu merupakan tahun akhir anakku
belajar di sana dan akan menjalani konvokesyen. Oleh itu aku dan keluarga mengambil
keputusan untuk mengabdikan kenangan bersama-sama semasa beliau masih belajar
di sana. Beijing merupakan satu bandar yang sangat sesak. Pengalaman
bersiar-siar pada hari kerja memang sangat baik tetapi adalah lain ceritanya
pada hujung minggu dan hari cuti umum China. Ia boleh menjadi sukar untuk
bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain disebabkan oleh orang ramai.
Pencemaran udara di Beijing juga mungkin akan menjadi faktor gangguan lawatan. Kita boleh menggunakan topeng muka untuk
melindungi diri semasa berada di kawasan terbuka. Ini adalah satu situasi yang
agak lumrah di China.
Kami bertolak ke Beijing, China pada pukul 6.30 petang 17
Jun 2018 dan sampai pada pukul 1.30 pagi pada 18 Jun 2018 dan disambut oleh anak
sulungku di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Terminal 3. Jika aku rasa
KLIA itu besar, lapangan terbang Beijing itu sungguh besar dan binaannya juga
sangat menarik. Tapi yang pasti keadaan di lapangan terbang ini sungguh sesak
dengan manusia yang mempunyai urusan kehidupan. Menurut anakku, kami baru
sahaja mendarat di salah sebuah lapangan terbang tersibuk di dunia. Kami terus
dibawa ke tempat penginapan oleh pemandu van yang telah ditempah khas sepanjang
percutian kami selama seminggu.
Percutian kami selama seminggu ini memberikan pengalaman
yang menarik dengan disajikan dengan ragam kehidupan di sebuah kota yang besar.
Pepatah Melayu ada mengatakan, Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan. Kata anakku,
tidak lengkap kalau datang ke Beijing jika tidak melakukan dua perkara iaitu,
mengunjungi Tembok Besar China dan makan Itik Panggang Beijing.
Pada hari kedua kami telah pergi melawat Tembok Besar
China. Perjalanan kami dari tempat penginapan mengambil masa lebih kurang 1 jam
lebih dengan melalui lebuh raya. Baru aku tahu bahawa di Beijing ini mengunakan
sisten lingkaran. Semakin keluar lingkaran, semakin kampung kawasan tersebut.
Lingkaran Pertama ialah di Tiananmen Square. Tempat penginapan kami pula
terletak di Lingkaran Ketiga, masih kawasan bandar. Jumlah lingkaran seluruh
Beijing ialah enam. Aku berasa kagum apabila melihat saliran-saliran yang
terletak di sepanjang perjalanan sungguh bersih dan jernih airnya. Suasana amat
mendamaikan.
Kebanyakan pelancong biasanya akan pergi ke Tembok Besar Badaling
kerana di sana merupakan tumpuan utama pelancong. Hal ini kerana Tembok Besar
Badaling mempunyai kemudahan awam seperti bas yang terus berhenti ke destinasi.
Berbeza dengan kami, anakku mengajak kami untuk pergi ke Tembok Besar Mutianyu
yang terletak di daerah Huairou. Menarik di Tembok Besar Mutianyu ini ialah
kami akan menuruni Tembok Besar tersebut dengan menaiki gelongsor. Ini
benar-benar satu pengalaman menarik dan unik untuk kami sekeluarga. Sebelum
sampai ke Tembok Besar China kami berhenti di sebuah kawasan perkampungan yang
menjual hasil pertanian. Aku sungguh kagum melihat hasil pertanian seperti buah-buahan
yang dijual sungguh segar. Paling aku teruja apabila melihat buah laici. Memang
manis dan harga yang dijual juga sungguh berpatutan.
Destinasi yang kami tuju akhirnya sampai. Aku terpegun
melihat Tembok Besar China yang selama ini hanya aku lihat dalam buku dan kaca
televisyen. Kini, salah satu keajaiban dunia ini berada di hadapan mataku
sahaja. Untuk mendaki Tembok Besar China itu kami mempunyai dua pilihan iaitu
mendaki atau menggunakan kereta kabel. Untuk menjimatkan masa, kami mengambil
keputusan untuk menaiki kereta kabel sahaja. Melihat struktur Tembok Besar
China yang kukuh dan dibina di kawasan yang berbukit dan lurah yang dalam,
terfikir aku bahawa pasti banyak keringat dan darah yang tumpah semasa pembinaan
tembok besar China ini. Ada satu pepatah China yang dikongsikan dengan kami
tentang Tembok Besar China ini yang berbunyi ‘Sesiapa yang tidak pernah pergi
atau mendaki Tembok Besar China, maka dia bukan lelaki sejati.’ Padanlah ramai
ibu bapa yang mula membawa anak-anak mereka yang masih kecil untuk mendaki
binaan bersejarah ini. Bahkan, datuk dan nenek yang sudah bertongkat pun tidak
terkecuali untuk mendakinya. Semangat mereka serta kecintaan mereka terhadap
sejarah negara amat patut dicontohi oleh kita semua. Hampir 2 jam berada di
atas tembok, merakam keindahan lanskap bukit bukau di kawasan sekitar dan juga
binaan tembok itu sendiri, kami akhirnya turun ke kaki bukit. Kami turun dengan
menaiki galongsor atau ‘sledge’ yang meluncur dilaluan besi dari atas bukit
hingga ke bawah. Memang sunggunh seronok kerana pada masa yang sama dapat melihat
pemandangan disekeliling semasa menuruni tembok besar China ini.
Pada hari berikutnya kami mengambil kesempatan untuk melawat
Zoo Beijing. Matlamat kami sebenarnya untuk melihat panda. Aku kagum di tengah-tengah
bandar besar ini wujud kawasan yang dijadikankan zoo dengan berlatarkan alam
semulajadi yang cantik. Terpesona apabila dapat melihat panda di hadapan mata. Panas
terik musim panas tidak menghalang kami daripada terhibur dengan gelagat panda
gemuk yang comel.
Itik Panggang Beijing adalah lambang masakan Beijing. Pelayan
telah memotong daging itik yang telah dipanggang di hadapan kami sebagai
persembahan. Daging itik akan dimakan bersama penkek nipis, daun bawang dan sos
masin. Rasanya amat enak, sedikit berbeza dengan rasa daging ayam. Namun
begitu, tidak ramai yang gemar makan daging itik termasuklah ahli keluargaku
yang lain. Sudah lengkap dua perkara wajib yang perlu dilakukan jika berkunjung
ke Beijing, maka jika kami mahu pulang ke Malaysia malam itu juga pun tidak
mengapa, gurau anakku.
Percutian kami diteruskan dengan melawat Istana Musim
Panas yang merupakan salah satu tempat
menarik di Beijing yang wajib dilawati selain daripada Tembok Besar China.
Pemandangan di sini benar-benar menakjubkan dengan tamannya yang indah dan
rapi, dan satu tasik buatan manusia yang luas.
Pada sebelah petangnya kami pergi Bird Nest dan Water Cube. Memang kami
merancang untuk pergi sebelah petang untuk kami melihat suasana malam yang
diaktan amat menarik dengan kilauan lampu yang menarik. Kedua-dua tempat ini
adalah mercu tanda Olimpik di Taman Olimpik Beijing. Bird Nest adalah struktur
keluli terbesar di dunia dan stadium paling kompleks yang pernah dibina. Water
Cube dibina dalam reka bentuk yang unik. Apabila waktu malam, Bird Nest dan
Water Cube diterangi dengan cahaya lampu warna merah dan biru. Memang sungguh
menakjubkan apabila kita memandangnya. Kami berkelah di dataran yang disediakan
sambil menikmati pemandangan di kawasan tersebut. Selain itu, anakku mengambil
kesempatan ini untuk merakamkan foto kenangan dia berjubah konvo bersama kami.
Hari konvokesyennya jatuh pada hari kami bekerja jadi kami tidak dapat hadir ke
majlis tersebut. Kata anakku tidak mengapa kerana majlis itu akan berlangsung
sepenuhnya dalam bahasa Mandarin tanpa jurubahasa bahasa Inggeris atau bahasa
Melayu yang akan menterjemah untuk para ibu bapa yang hadir. Majlisnya juga
sangat ringkas dan sederhana jika mahu dibandingkan dengan majlis konvokesyen
di Malaysia yang gah.
Satu keadaan yang tidak dapat kami lupakan apabila semasa
percutian tersebut jatuh tarikh persidangan komunis sedunia yang diadakan di
Bandaraya Beijing. Ketika itu kami dapati
pihak berkuasa berada di serata bandar untuk mengawasi keselamatan. Terasa
seram juga apabila melihat keadaan itu.
Hasrat kami untuk singgah di Dataran Tiananmen terbantut apabila melihat di sepanjang
jalan dipenuhi dengan anggota keselamatan yang lengkap bersenjata.
Satu pengalaman yang berharga apabila kami berpeluang
untuk menunaikan solat di Masjid Niujie iaitu masjid tertua di Beijing. Masjid
ini dibina pada tahun 996 dan dibesarkan pada tahun 1622. Ruang solat masjid
ini mampu menampung seribu jemaah dalam satu masa. Ramai pelawat yang hadir
untuk menunaikan solat terutama pada hari Jumaat. Kami juga terserempak dengan
beberapa pelajar lelaki Malaysia yang lain usai solat Jumaat di situ. Sesuatu yang perlu diketahui ialah pada
setiap hari Jumaat kawalan ketat dilakukan oleh pihak berkuasa China untuk
memastikan apabila selesai sembahyang Jumaat para jemaah akan terus bersurai.
Pihak berkuasa China tidak membenarkan sebarang perkumpulan yang ramai
terutamanya upacara keagamaan kerana dianggap boleh mencetuskan suasana yang
tidak baik.
Perkara yang mengagumkan kami ialah apabila pemandu yang
membawa kami sepanjang percutian itu mengenali Perdana Menteri Malaysia ketiak
itu iaitu YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Beliau memberitahu
amat mengagumi perdana menteri kita itu. Rupanya Pusat pengajian Melayu China
di BFSU telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam iaitu YAB
Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada September 2005. Jadi tidak
hairanlah mengapa YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dikenali di
China. Kami telah dibawa oleh anakku untuk melihat kawasan universiti. Menurut
salah seorang yang kami temui di sana mengatakan bahawa universiti ini
merupakan salah satu universiti yang menjadi pilihan dalam kalangan warga China
untuk melanjutkan pelajaran. Mereka amat berbangga jika dapat memasuki
universiti ini.
Satu hal yang amat menarik perhatianku ialah kawasan
kampus di universiti ini amat indah dengan pokok besar dan pokok bunga.
Rata-rata pelajar aktif melakukan pelbagai aktiviti seperti belajar, bermain
skateboard, bermain bola keranjang atau menunggang basikal. Perpustakaannya
juga mempunyai binaan yang unik. Dinding perpustakaan diukir dengan perkataan
‘perpustakaan’ dalam pelbagai bahasa. Teruja kami apabila nampak perkataan
‘perpustakaan’ turut terukir. Sesuai benar binaan perpustakaan ini dengan
identiti Beijing Foreign Studies University yang menawarkan pelbagai jurusan
bahasa.
Pengalaman bercuti di Beijing memberi satu pengalaman
berharga kepada kami. Daripada kesesakan jalan raya sehinggalah dengan
keindahan panoramanya memberi satu pengalaman yang sangat berharga. Aku
bertekad untuk kembali semula ke sini untuk menjelajah tempat-temat yang masih
tidak aku pergi. Tambahan anakku yang telah tamat belajar di sana memang ingin
kembali ke sana untuk mengutip semula kenangan manis semasa belajar di sana.
Semoga niat itu akan tercapai apabila berakhirnya COVID-19 ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan